Setahun Kerajaan Melaksanakan Sistem Cukai Tidak Patuh Syariah




1. Hari ini 1hb April 2016 genap setahun cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan. Pihak kerajaan sangat berbangga dengan kejayaan kutipan GST kerana ia dijangka berjaya mendatangkan hasil sehingga 27 bilion jauh melebihi sasaran asal hanya 21.3 bilion untuk 2015 bermula april. Malah untuk 2016 dijangka GST bakal berjaya memungut sehingga rm39 bilion iaitu 17.3% daripada keseluruhan hasil kerajaan persekutuan.

 2. PAS khususnya Dewan Ulamak PAS Pusat tetap menegaskan bahawa GST adalah sistem cukai yang tidak patuh Syariah yang sepatutnya dibatalkan oleh pemerintah meskipun banyak mana sekalipun ia mampu dikutip.

3. PAS telah membantah pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang berhujah bahawa GST harus selagi ia digunakan untuk maslahat rakyat. Hujah PAS ialah penentuan harus atau tidak sesuatu sistem percukaian dan hasil negara bukan dilihat pada bagaimana ia dibelanjakan sahaja tetapi bagaimana ia diperolehi.

4. GST tidak memenuhi syarat keharusan cukai dalam Islam. Antaranya ialah kerana ia dipungut berdasarkan perbelanjaan yang tidak boleh membezakan antara orang kaya dan orang miskin. Cukai GST dikenakan juga kepada golongan miskin. Sedangkan prinsip cukai dalam Islam ialah hendaklah diambil daripada si kaya untuk diagihkan kepada si miskin.


5. Pihak kerajaan berhujah, dengan GST orang kaya lebih banyak membayar cukai kerana mereka lebih banyak berbelanja berbanding orang miskin. Jawapan kepada hujah tersebut ialah Islam tidak membenarkan mengambil cukai daripada si miskin walaupun 1 sen.

6. Kerajaan berhujah dulunya ketika memperkenalkan GST bahawa GST bakal menurunkan harga barang tetapi ternyata selepas setahun berlalu tiada rakyat yang tidak mengeluh kenaikan harga barang disebabkan GST dan bagaimana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membayar GST.

7. Dengan GST kerajaan telah memperluaskan saiz pembayar cukai bahkan berhujah dulunya bahawa amat tidak adil kerana pembayar cukai hanya sedikit hanya sekitar 1 juta rakyat sahaja. Dengan GST lebih ramai membayar cukai sehingga 6 juta orang. Maka itulah "keadilan" bagi kerajaan. Sedangkan pemikiran ini jauh tersasar daripada pemikiran cukai dalam Islam iaitu berusaha mengecilkan saiz pembayar cukai bukan memperluaskannya kerana cukai tidak sepatutnya menjadi sumber utama bagi negara tetapi menjadi sumber ke tiga dan keempat di kala kerajaan tidak mampu mendapatkan hasil daripada sumber yang lain.

8. Masih belum terlewat untuk kerajaan membatalkan GST. Perkara ini telah saya sebut berulangkali dalam ucapan saya di Dewan Rakyat. Batalkan GST yang tidak patuh syariah dan yakinlah pasti Allah hadirkan pelbagai sumber yang halal untuk negara yang berlipat kali ganda.

9. Apa yang kita mahu ialah "keberkatan" hasil negara. Dalam situasi kerajaan berbangga dengan usaha pelaksanaan "Indeks Syariah berdasarkan Maqasid Syariah" maka adakah GST bertepatan dengan Maqasid Syariah yang antaranya bertujuan menjaga harta rakyat???

10. PAS telah menjalankan kewajipannya menasihati pemerintah dengan pelbagai cara. Tinggal pada rakyat pula untuk bangkit menasihati dan menegur pemerintah menerusi pilihanraya!!!

Sekian.

pas. org .my

Artikel Biar Tranding Lainnya :

0 komentar:

Posting Komentar

Scroll to top